Bismillah...
Sudah bertahun lama kita tidak lagi bersua
Hanya tinggal kenangan
Yang tak mungkin kita lupa
Kirimkan khabar selalu
Seiringan hembusan bayu
Sekadar mengubat rasa rindu di kalbu
Hampir dua tahun yang lalu saya bertemu dia kembali. Aneh. Dalam semua tempat di dalam peta Malaysia ni, kenapa mesti di sani? Di bumi perantau yang asing dan terbuang ini. Mungkin itulah misteri takdir. Saya nampak dia dari jauh. Saya senyum tetapi dia tidak membalas kembali. Saya panggil dia kuat-kuat tapi dia tak dengar pun sebab saya panggil dalam hati je. Orang kata, kalau kita sayangkan seseorang, dalam ramai kita akan tetap nampak dia. Macam apa yang saya lalui itu.
Pantas masa berlalu meninggalkan kita semua
Tanpa disedari bertambahlah usia kita
Potret lama masih kusimpan kubingkaikan kenangan
Higga terkadang ku tersenyum sendirian
Sudah bertahun masa berlalu dan seiring itu terlalu banyak yang telah berlaku dan saya memilih untuk melupakan kisah silam. Masa lalu saya bukan sesuatu yang saya mahu hidup dan bawa bersama kerana saya tidak ingin dihantui detik-detik kelam. Hampir-hampir saya meluputkan dia dari ingatan hingga saat saya berpapasan dengannya dari jauh dulu. Hanya setahun kemudian saya berani bertemu semula dengan dia, masa silam saya. Pelik. Saya tak pernah tidak menyenangi dia malah selalu merindui. Kenangan zaman sekolah menerjah masuk dan saya malu-malu.
Padaku engkau penghibur duka
Pengubat hati resah kecewa
Di kala malamku kau bawa cahaya
Tidak banyak yang saya ingat tentang dia dan masa silam saya. Tetapi dialah teman yang selalu duduk di sisi saya setiap kali waktu solat maghrib dan isya’ di surau. Dialah jam penggera juga penglipur lara saya. Dia tidak perlu berkata banyak. Hanya sebaris ayat atau dengan satu getusan sahaja saya akan kembali tersenyum. Entahlah. Mungkin saya hanya mahu berlagak gagah di hadapan dia. Itu sahaja.
Antara kita tiada rahsia
Susah dan senang tetap bersama
Terpatri namamu kau takkan ku lupa
Setelah sekian lama terpisah, kini dia dan saya bersama semula. Banyak yang terbuku di dalam hati tetapi jarang sekali dapat di luahkan. Secara jujurnya, tidak ramai yang mahu bersama dengan saya untuk memilih ‘sesuatu di atas sesuatu’ tetapi bukan dia. Kerana dia, saya melakukan banyak perkara pelik. Kerana dia, saya berani berbuat pelbagai tindakan berani mati. Kerana dia, saya mula melangkaui batas yang saya pernah tetapkan sendiri. Dan yang paling utama, saya tidak akan pernah menyesal bagini, malah menghargai setulus kasih sayang yang dia hulurkan ikhlas dari dalam hati.
Oh perjalanan kita masih jauh
Jalanan berliku bakal kita tempuh
Imbaslah kenangan semalam
Jadi azimat penguat semangat menempuh masa hadapan
Harapanku kau kan bahagia selalu
Dan kini saya terpaksa pergi. Sungguh tanggungjawab saya terhadap dia masih banyak tetapi dia meyakinkan saya jalan ke syurga itu seluas pintu-pintu kebajikan. Katanya bukan lama. Sekejap lagi dia akan menyusul langkah saya ke sana. Semoga ukhwah ini bukan sebatas ruang waktu di dunia malah melangkau hingga ke sana, tujuan abadi kita semua. Biar semua penghuni langit cemburu dengan saya juga dia andai bertemu dan berpisahnya saya dengan dia kerana Yang Satu.
Sematkanlah bingkisan rindu di kalbu...
Great blog, I enjoyed reading
ReplyDelete